Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin tidak perlu panas hati apabila melihat keakraban dua pemimpin UMNO bergambar dalam satu pertemuan empat mata di Putrajaya baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Razlan Mohd Rafii mengingatkan Kadir agar tidak menghina UMNO, parti yang pernah memberi kesenangan kepada beliau.

“NSTP (News Strait Times Publication) adalah hasil titik peluh pemimpin UMNO, apa yang Kadir ada hari ini juga hasil dari perjuangan UMNO.

“Tidak ada salahnya Barisan Nasional (BN) memerintah semula negara ini, semua tuduhan Kadir sudah dibawa dan dibicarakan di mahkamah.

“Jangan terus menerus ibarat kacang lupakan kulit, elok melihat jalan kebaikan dari terus menerus meletakkan salah kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kadir menggambarkan UMNO akan kembali berkuasa susulan pertemuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Wartawan veteran itu menggambarkan pertemuan itu sebagai geng lama berkumpul semula dan secara de facto UMNO kembali berkuasa walaupun kalah pilihan raya.

Dalam pada itu, Razlan turut mengingatkan Kadir kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Ibarat tersandung batu, janganlah nak salahkan orang lain, yang hilangkan majoriti di Parlimen terhadap PH adalah parti PPBM.

“Malah Kadir merupakan Ahli Majlis Tertinggi ketika itu, beliau lebih tahu apa yang terjadi dengan parti beliau dengan rakan-rakan beliau dalam PH,” katanya.

Menurut Razlan, ketika itu UMNO dan Pas menuntut supaya pilihan raya diadakan, namun ianya tidak diperkenan oleh Istana Negara atas sebab kepentingan rakyat.

“UMNO dan Pas hanya memenuhi kehendak Istana dan memelihara kepentingan rakyat yang ketika itu dahagakan negara yang lebih baik daripada pemerintahan PH.

“Tujuh PRK kalah terus menerus, ekonomi merundum, Menteri Kewangan tak tahu baca titik perpuluhan, kepentingan GLC kerajaan dijual, dividen ASB dan TH tercorot dalam sejarah Negara.

“Peristiwa Kasut Hitam, komunis sebagai perjuangan kemerdekaan malah banyak lagi dan setiap hari selama 22 bulan rakyat Malaysia dihidangkan dengan krisis Menteri yang gagal mentadbir Malaysia ketika itu,” katanya

Malah, dalam baru setahun jagung memerintah, perebutan jawatan Perdana Menteri di antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim makin menjengkelkan.

“Ketika rakyat dahagakan formula dan janji. anifesto, rakyat kehilangan pekerjaan, PH berebut untuk menukar Perdana Menteri.

“Ini semua menyebabkan rakyat tidak selesa dengan PH, PH menjadi Pakatan Hilang Harap untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette