Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof bercakap kepada media selepas hadir melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika di Dewan Seri Seroja, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2021.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan dakwaan bekas Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pendakwaannya di mahkamah hari ini kerana campur tangan politik tidak benar.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya membela dirinya di mahkamah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Jelas beliau, semua rakyat di negara perlu mematuhi di undang-undang terutama pemimpin politik kerana gerak-gerak mereka sentiasa diperhatikan ramai.

“Itu tidak betul, siapa-siapa yang melanggar undang-undang, kita ada rule of law untuk dipatuhi, siapa yang contoh hari ini yang tidak sabit kesalahan, mereka mungkin bertuah.

“Bagi mereka terutama yang seorang pemimpin politik kita kena berjaga-jaga, orang pandang akan keberadaan dalamm masyarakat kalau kita terlibat gejala-gejala yang libat integriti dan pecah amanah, kita kena bertanggungjawab.

“Kita tidak boleh salahkan contoh sebab politik, tiada benda yang dicampur dengan politik dengan undang-undang, jadi beliau kena jawab.

“Kalau beliau boleh terangkan kepada mahkamah bukan kesalahan, terserah kepada beliau untuk bela diri. Jadi tidak timbul isu kalau diviral beliau diugut contoh masuk Perikatan Nasional (PN), tidak benar, saya secara peribadi mengenali beliau, tidak pernah sekali saya mengugut, orang lain pun tak pernah, akhirnya dia didakwa pecah amanah, kena jawab dan tidak timbulkan soal politik,” katanya.

Beliau yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Seri Seroja di sini hari ini.

Pagi tadi, Syed Saddiq  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga Ahli Parlimen Muar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Namun semalam beliau mendakwa pendakwaannya atas tuduhan pecah amanah di mahkamah itu ada kaitan dengan ugutan yang diterimanya kerana enggan menyertai PN

Menurutnya, ugutan itu datang setiap kali sidang Parlimen mahu bersidang.

BACA: Syed Saddiq mengaku tidak bersalah

Beliau menegaskan berani kerana benar dan tidak akan sesekali menjual jiwa dan prinsipnya kepada PN.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan menambah, kes pendakwaan Syed Saddiq juga bukan berunsur balas dendam kerana pemimpin politik di negara sudah matang.

Sebaliknya tegas beliau, tuduhan mengatakan campur tangan politik hanyalah permainan individu tertentu yang tidak mahu bersama Kerajaan PN.

“Tiada unsur balas dendam, tidak ada kerana kita politik matang dan tidak berdendam. Yang penting kita buat kerja kena betul dan kalau lari dari landasan dan betulkan.

“Tiada campur tangan politik dan itu permainan orang tidak mahu bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya lebih rela masuk mahkamah dari PN – Syed Saddiq