Nur Qistina Aiman Mohamed Amran (kanan)  bersama  bapanya  antara  penerima  Bantuan Awal  Pendidikan  sumbangan  Yayasan  JCorp  bagi  membiayai  kos  awal  kemasukan  ke  Universiti Teknologi MARA Melaka dalam  bidang  Sarjana  Muda  Sains  Pentadbiran.

JOHOR  BAHRU  –  Dalam  usaha  membela  nasib  pelajar  khususnya  golongan berpendapatan  rendah yang  terkesan  akibat  Covid-19, Yayasan  Johor  Corporation  (Yayasan  JCorp)  memperkenalkan inisiatif  bantuan awal pendidikan.

Pengerusi  Yayasan  JCorp,  Rozaini  Mohd San berkata, inisiatif  tersebut  diperkenalkan  bagi  membantu  mengurangkan bebanan  ibu  bapa  serta penjaga  terhadap  tanggungan  semasa  pendaftaran  anak  mereka  ke  institusi  pengajian  tinggi dan sementara  menunggu  pinjaman  pendidikan  dan  biasiswa  yang  diluluskan.

“Sejak  dilancarkan  pada  2017  sehingga  Jun  2021,  seramai  lebih  800  pelajar  dari  seluruh  negara  telah menerima  manfaat  menerusi  Bantuan  Pendidikan  Yayasan  JCorp  ini  di  mana  sejumlah  RM330,000 telah  digunakan  bagi bantuan  tersebut.

“Inisiatif  Yayasan  JCorp  juga menyasarkan  penerima  dalam  kumpulan  keluarga  B40  dan  purata pendapatan isi  rumah  di bawah RM800  berdasarkan  jumlah  tanggungan  keluarga diberi perhatian,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Bantuan  awal  pendidikan  itu diberikan berdasarkan  syarat  kelayakan  pendapatan  bulanan  isi  rumah.

Bantuan  itu  terbuka  kepada pelajar  warganegara  Malaysia  yang  bakal  melanjutkan  pengajian  ke  peringkat  Sijil  dan  Diploma  serta Sarjana  Muda  dan  Sarjana  (Master)  di  IPT  sepenuh  masa  dengan  masing-masing  layak  menerima sebanyak  RM700  dan  RM1,000  setiap  seorang.

“Setiap  permohonan  bantuan  awal  pendidikan  yang  diterima  akan  melalui  proses  saringan  oleh jawatankuasa  khas  yang  ditubuhkan.

“Kami  berharap  inisiatif  ini  sedikit  sebanyak  dapat  meringankan  bebanan  ibu  bapa  serta  keluarga pelajar  yang  terjejas  akibat  pandemik  untuk  membiayai  kos  permulaan  anak  mereka  ke universiti,”  tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara  itu,  Yayasan  JCorp  turut  mengalu-alukan  sumbangan  orang  ramai  untuk  aktiviti  Bantuan Pendidikan  ini  melalui  akaun  Bank  Islam:  Yayasan  Johor  Corporation  (01014010027795).

Setiap sumbangan  akan  mendapat  pelepasan  cukai  10 peratus  daripada  pendapatan  agregat  individu  dan syarikat.

Bagi  mendapatkan  maklumat  lanjut  mengenai  Bantuan  Pendidikan  Yayasan  JCorp  ini,  pemohon boleh  melayari  laman  web  Yayasan  JCorp:  http://www.yayasanjcorp.com.my/.
Permohonan  atas talian boleh dibuat melalui https://www.facebook.com/yayasanjohorcorporation/. Facebook Page Yayasan JCor.-MalaysiaGazette