Keadaan rumah mangsa akibat ribut petang tadi musnah teruk

KOTA TINGGI – Kira-kira 140 buah rumah di Tanjung Sedili, di sini, rosak teruk akibat dipukul angin kencang berikutan hujan lebat berterusan selama dua jam pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussain Zamora berkata, kejadian pada pukul 3 petang itu menyebabkan dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa dibuka untuk menempatkan keluarga terjejas.

Kejadian itu melibatkan tujuh buah kampung di sekitar Tanjung Sedili.

“Antara kampung terjejas Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Taman Sedili dan Kampung Tanah Putih.

“Hujan lebat dan ribut yang berterusan lebih dari dua jam di beberapa kawasan sekitar Tanjung Sedili itu turut menyebabkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Jaya Tanjung Sedili dan SK Sedili Besar,”katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu Hussain berkata, tiada laluan utama yang terputus akibat kejadian ribut itu

“Ini disebabkan proses tindakan penyelenggaraan jalan telah diambil oleh pihak JKR Kota Tinggi dengan mengalihkan dan memotong pokok-pokok yang tumbang akibat tiupan angin ribut,” ujarnya.

Ia merupakan bencara ribut pertama melanda Tanjung Sedili yang melibatkan tujuh buah kampung dengan 140 buah rumah rosak teruk.

Balai Polis Kuala Sedili juga turut terjejas yang mana bumbung sebuah rumah Perumahan Polis (APR) dan beberapa bumbung garaj rosak. 

“Mangsa-mangsa bencana ribut yang akan dipindahkan ke PPS masih dalam tindakan pihak JKM, penghulu dan ketua ampung memandangkan kebanyakan mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara masing-masing yang tinggal berhampiran. 

“Jabatan agensi kerajaan seperti pihak polis, bomba, JKM termasuk penghulu dan ketua kampung telah hadir ke tempat lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan dan tindakan menyelamat dan setakat ini, tiada melibatkan kehilangan jiwa dan kecederaan yang dilaporkan,” katanya.

Ujarnya, anggaran kerugian masih belum dapat ditaksirkan.-MalaysiaGazette