24 kontena berisi bahan buangan dihantar semula ke negara asal iaitu Kanada dan Amerika Syarikat.

BUTTERWORTH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan 24 kontena yang mengandungi bahan buangan kertas untuk dilupuskan di negara ini dipulangkan semula ke negara asal.

Sebanyak 24 kontena terdiri daripda lima unit dari Amerika Syarikat (AS) dan 19 dari Kanada itu dikesan dalam satu pemeriksaan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

Arahan pemulangan semula itu dibuat susulan bahan buangan kertas tersebut dibawa masuk tanpa mendapat surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Antara kontena berisi bahan buangan yang ditemui di NBCT Butterworth semalam.


Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, semakan lanjut juga mendapati pengimport tersebut tidak mempunyai fasiliti penerima yang memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta tiada lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Tegas beliau, kegagalan pengimport mendapatkan kelulusan di premis penerima boleh membawa implikasi negatif termasuk  kemungkinan berlaku pelupusan dan pemprosesan sisa secara haram, pembakaran terbuka serta kacau ganggu lain. 

“Selain itu, proses kitar semula di premis haram boleh menyebabkan isu pencemaran yang serius ia susulan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45 meter padu air bagi setiap satu tan metrik kertas

“Ia juga akan turut menghasilkan air sisa atau efluen yang banyak serta boleh mencemarkan parit dan sungai jika tidak dirawat terlebih dahulu.

“Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu sehingga mematuhi had piawaian yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 sebelum dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak JAS Pulau Pinang memeriksa kontena berisi bahan buangan kertas.


Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah menegaskan terdapat peningkatan ketara kemasukan buangan sisa pepejal termasuk buangan kertas ke negara ini sejak China mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal masuk ke republik berkenaan bermula 1 Januari lalu. 

“Sebelum ini, negara itu menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik (kod HS 39.15) bermula 1 Januari 2017, diikuti dengan pelan yang dinamakan sebagai ‘Prohibition of Foreign Garbage Imports: The Reform Plan on Solid Waste Import Management’ yang dikuatkuasakan pada 27 Julai 2017 bagi melarang 24 jenis buangan sisa pepejal termasuk buangan plastik.

“Ini menyebabkan pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke negara China berpindah operasi ke negara Asia Tenggara termasuk Malaysia,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Sharifah Zakiah berkata, masalah pengimportan itu perlu ditangani dengan serius kerana buangan yang diimport masuk melalui NBCT juga mungkin dibawa ke negeri lain bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram.

“Kerjasama semua pihak berhubung isu ini amat perlu agar negara ini tidak menjadi tong sampah dunia,” kata beliau. – MalaysiaGazette