special announcement Deputy Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob speaks to the journalists after the MINDEF Prihatin Programme at Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 19 JULY 2021. Relaxed movement control completed 2 doses of Covid-19 vaccine
Deputy Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob speaks to the journalists after the MINDEF Prihatin Programme at Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 19 JULY 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 49 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 80,868 pemeriksaan dan snap check Covid-19 yang melibatkan 19,168 anggota di seluruh negara.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,905 buah kilang, 14,249 premis perniagaan, 742 tapak pembinaan dan 270 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pihak berkuasa turut menahan 337 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 332 individu dikompaun, manakala lima lagi direman.

“Ia hasil daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 80,868 pemeriksaan semalam.

“Ia melibatkan 4,234 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,168 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP,” katanya.

Sementara itu, Operasi Benteng (Op Benteng) semalam telah menahan lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas tujuh kenderaan darat dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette