Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Golongan berusia 51 tahun dan ke atas cenderung untuk menjadi mangsa penipuan Macau Scam kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kes penipuan yang berlaku.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepanjang tahun 2019 hingga Jun 2021 lalu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM327 juta telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 2019, sebanyak 2,466 kes dilaporkan dengan kerugian lebih RM121 juta atau lebih tepat RM121,855,100.39, namun jumlah kes direkodkan pada tahun lalu menurun apabila mencatatkan 2,247 kes sahaja bagaimanapun nilai kerugian meningkat kepada lebih RM172 juta.

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 814 kes direkodkan membabitkan kerugian lebih RM33 juta,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, statistik juga menunjukkan daripada 5,535 mangsa yang terbabit sepanjang tempoh berkenaan, individu dalam lingkungan umur 51 tahun ke atas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,621 orang atau bersamaan 29.3 peratus.

Menurutnya, mangsa dalam lingkungan umur 41 hingga 50 tahun pula merangkumi 17.8 peratus, golongan berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah 25.3 peratus; golongan lingkungan umur 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus) dan golongan berusia bawah 20 tahun (1.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan.

“Berpandukan kepada analisis dijalankan, kami percaya golongan berusia 51 tahun ke atas cenderung menjadi mangsa penipuan kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kes penipuan yang berlaku.

“Keadaan itu ditambah pula dengan kedudukan ekonomi golongan berkenaan yang lazimnya mempunyai aliran kewangan stabil, ada wang simpanan untuk hari tua mahupun wang persaraan menyebabkan peratusan mereka menjadi mangsa penipuan lebih tinggi.

“Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan untuk menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Mohd Kamarudin juga menjelaskan, pihaknya melihat terdapat keperluan komunikasi dalam kalangan ahli keluarga dalam usaha menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.

Ahli keluarga khususnya anak-anak yang mempunyai maklumat pendedahan langsung dengan maklumat daripada media sosial disarankan untuk memaklumkan pengetahun diperolehi kepada ibu bapa supaya mereka turut cakna dengan situasi semasa.

“Kami mengharapkan melalui peranan yang dimainkan setiap daripada kita, kes-kes jenayah penipuan terutamanya Macau Scam dapat dicegah dan dihapuskan,” tegasnya.-MalaysiaGazette