Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sehingga kini masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sekiranya penerima-penerima vaksin mengesyaki telah menerima suntikan vaksin kosong, mereka boleh membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan jabatan siasatan jenayah akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan tersebut.

”Bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara online atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak polis dan siasatan akan dijalankan oleh jabatan siasatan jenayah komersil di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, bagi penerima-penerima vaksin yang merasa gelisah dan merasa telah diperdayakan dengan tidak disuntik dengan vaksin, mereka boleh membuat ujian “Covid neutralizing antibody test” di makmal-makmal perubatan yang berlesen sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua untuk mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya.

Dalam kenyataan mengenai siasatan berhubung pemberian suntikan vaksin picagari kosong semalam, Abd Jalil berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sejak beberapa hari yang lalu.

Setakat ini,  sebanyak 13 laporan polis telah diterima mengenai kejadian ini melibatkan tujuh tujuh kes di Kuala Lumpur, tiga kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak serta Melaka dan siasatan dijalankan oleh JSJ dan kesemua kes masih di peringkat siasatan.

Bagi kes melibatkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran, siasatan akan dijalankan oleh JSJ Komersial Bukit Aman.-MalaysiaGazette