Tol gombak sesak pada malam 22 Julai lalu disebabkan pengguna menggunakan surat MITI rentas negeri dan temu janji vaksin Covid-19, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed hari ini.

GOMBAK – Polis Gombak mengesahkan berlaku kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Gombak dari arah Bentong menuju ke Gombak sejauh 1.8 kilometer dari sekatan jalan raya seperti tular dalam media sosial pada 22 Julai lalu.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemuncak kesesakan berlaku antara jam 8 malam hingga 9.30 malam

“Siasatan mendapati kesesakan lalu lintas ini berpunca daripada pertambahan pengguna jalan raya yang mempunyai surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan temujanji untuk vaksinasi di sekitar Lembah Klang.

“Kesesakan itu berlaku disebabkan kenderaan ‘essential’ perkhidmatan perlu (kenderaan perdagangan) yang membawa barangan untuk merentas negeri, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan, polis melaksanakan pemeriksaan teliti ke atas kenderaan yang melalui SJR bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil peluang dan kesempatan untuk merentas negeri.

Menurut Zainal, sepanjang pemeriksaan SJR yang dijalankan di tol berkenaan, kebanyakkan pengguna jalan raya mempunyai surat kebenaran.

Hanya dua kompaun sahaja dikeluarkan pada waktu tersebut atas kesalahan tidak mempunyai sebarang surat kebenaran merentas negeri.

Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran pergerakan, pihak polis telah membuka tiga lorong untuk pemeriksaan di SJR. – MalaysiaGazette