KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara yang juga prospek pingat, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang mengetuai kumpulan terakhir kontinjen Malaysia terdiri daripada atlet sukan berbasikal trek, terjun dan olahraga yang berlepas ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini ini.
Seramai 10 individu, termasuk lima atlet berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines MH070 pukul 9.50 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.05 petang (waktu Malaysia 5.05 petang).
Selain Mohd Azizulhasni, empat lagi atlet adalah rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, penerjun wanita Cheong Jun Hoong serta Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias masing-masing mewakili sukan olahraga.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berlepas ke Tokyo menaiki pesawat sama bagi memberikan sokongan kepada atlet negara yang berjuang di bumi Tokyo.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tiba di KLIA bagi memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara.
Skuad pelayaran negara menjadi kumpulan kontinjen Malaysia pertama berlepas ke Tokyo awal bulan ini sebelum kumpulan kedua terdiri daripada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun), memanah dan menembak yang berangkat pada 17 Julai lalu.
Pada Olimpik kali ini Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan sasaran ditetapkan untuk merangkul tiga pingat termasuk sebutir emas.
Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili 32 atlet, membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga pencapaian terbaik negara pada Sukan Olimpik. – MalaysiaGazette