Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencelah dalam ucapan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencelah dalam ucapan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Langkah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencelah dalam ucapan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memakan diri sendiri.

Tindakan Mohamed Azmin itu menjadikan Ahli Parlimen pembangkang terus menerus menyerangnya berhubung kluster kilang berikutan penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan, tiada bukti jelas menunjukkan jangkitan Covid-19 disumbang oleh sektor kilang dan industri.

“Ketua Pembangkang kena bagi hujah berfakta, Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan Ketua Ranting tetapi Ketua Pembangkang dan kononnya bakal Perdana Menteri,” katanya ketika mencelah penjelasan Tengku Zafrul.

Beliau berkata, semua keputusan dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebelum keputusan itu dibuat, semua kementerian akan bentangkan sebelum MKN buat keputusan.

“Setiap kementerian dipanggil untuk membentangkan kesan positif dan negatif dan akhirnya setelah mendengar semua pandangan sama ada dari sektor kesihatan, ekonomi. MKN akan tentukannya.

“Peranan MITI hanya selaraskan di mana senarai yang telah diputuskan sebagai positif dibenarkan beroperasi,” jelas Azmin.

Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bagaimanapun tidak berjaya memuaskan hati pembangkang.

Mereka mendakwa Azmin mengemukakan fakta tidak berasas dan tidak mengikut fakta kesihatan.

Antaranya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bingkas bangun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, statistik dan data yang disebut beliau adalah daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya tidak bagi fakta lain selain daripada yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan berikan.

“Jangan panik tak tentu arah, ada buat salah besar yang jadi panik macam itu,” katanya ringkas.

Keadaan tegang itu akhirnya ditenangkan Yang Dipetua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sidang khas Parlimen akan bersambung esok. – MalaysiaGazette