Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan tahniah kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi atas pencapaian tertinggi bagi dua peperiksaan program perakaunan profesional bagi sesi Jun 2021.

Pelajar Fakulti Perakaunan itu mendapat tempat pertama keseluruhan di dunia bagi peperiksaaan Financial Management (FM) dan tempat kedua di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Menurut Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli, kejayaan itu merupakan pencapaian membanggakan bagi anak Malaysia, walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Dalam keadaan bangsa Melayu yang selalu dimomokkan dari segi ekonomi dan kewangan, Hannah Mumtazah telah membuktikan perkara sebaliknya dengan mendapat kejayaan begitu cemerlang.

“Keadaan negara yang suram dan tiada harapan ke arah pemulihan pantas serta kestabilan ekonomi umpama tidak kunjung tiba, tidak mematahkan semangatnya untuk melakarkan kejayaan.

“Kejayaan ini sudah tentu bukan sahaja untuk dirinya, malah secara tidak langsung mengharumkan nama UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan Bumiputra yang berkelas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Hannah Mumtazah mendapat tempat pertama dalam negara dan dunia bagi kertas FM, manakala bagi kertas SBR, anak kelahiran Selangor itu dinobatkan tempat pertama dalam negara dan tempat kedua di dunia.

Beliau yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah bersyukur atas sokongan padu berterusan daripada ibu bapa, guru dan pensyarah yang menguatkan lagi semangatnya walaupun berdepan cabaran sepanjang proses pembelajaran atas talian.

Menurut Ashraf, Putra akan menyampaikan hadiah yang akan diumumkan oleh Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali nanti.

Kata beliau, Putra juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Fakulti Perakaunan UiTM kerana sentiasa berusaha meningkatkan jumlah akauntan bertauliah di Malaysia.

Justeru katanya, dengan kejayaan Hannah Mumtazah itu dapat membakar lagi semangat pelajar dan kakitangan UiTM, terutamanya tenaga pengajar agar terus menggembleng tenaga mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.

Ashraf Rosli

“Teruskan usaha melahirkan seramai mungkin pelajar yang cemerlang di peringta dunia tanpa mempedulikan sebarang stigma atau propaganda yang disemai oleh pihak serta individu yang dengki dan iri hati dengan UiTM.

“Telah terbukti, UiTM adalah sebuah pusat pendidikan tinggi Bumiputera yang berprestij dan disegani bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat global, selari dengan pepatah Hang Tuah ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’.

Begitu juga diharapkan kecemerlangan dan keunggulan UiTM dalam mengeluarkan produk sumber manusia berkualiti akan terus tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas demi memartabatkan agama, bangsa dan negara di persada antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette