Anggota polis mengawal ketat pintu masuk di hadapan parlimen bagi persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Pintu Utama Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR- Jalan Parlimen kembali sibuk menjelang Persidangan Khas Parlimen pukul 10 pagi ini.

Seawal 6.30 pagi, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memulakan tugas kawalan keselamatan di sepanjang Jalan Parlimen.

Mereka memeriksa kenderaan kira-kira 250 meter dari pintu masuk utama Parlimen iaitu di persimpangan ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati setiap kenderaan petugas Parlimen, anggota keselamatan, ahli Parlimen dan petugas media dikehendaki disyaratkan mempamerkan beberapa dokumen sebagai bukti mereka berurusan dengan sidang khas pagi ini bagi mengelak kehadiran individu tidak berkaitan atau perlanggaran syarat.

Papan tanda berwarna kuning diletakkan di simpang Jalan Parlimen dengan lima hingga sembilan anggota polis terlibat memeriksa secara teliti ke atas setiap kenderaan yang masuk.

Papan tanda kuning sekatan jalan raya tu menyatakan setiap orang yang berurusan di Parlimen dikehendaki mempamerkan surat bukti keputusan ujian calitan Covid-19 , surat rasmi bertugas, pelekat kereta khas dan pas kerja serta pas keselamatan.

Sementara itu, lebih tiga anggota polis trafik terlibat dalam tugas mengawal kelancaran aliran kenderaan di simpang jalan utama itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang telah tiba ke Parlimen sekitar jam 8.30 pagi manakala Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin muncul ke Parlimen jam 9.05 pagi diiringi kenderaan pengawal peribadi.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Pintu Utama Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

Kenderaan Vellfire yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob muncul di Parlimen 12 minit kemudian disusuli kenderaan beberapa menteri dan timbalan menteri Kabinet dan ahli-ahli Parlimen menjelang sidang khas dewan rakyat pagi ini.

Hari ini seramai 220 ahli Parlimen akan bersidang khas di Dewan Rakyat iaitu persidangan pertama bagi tahun ini selepas ditangguhkan ekoran perisytiharan darurat di seluruh negara sejak 12 Januari lalu dan juga risiko Covid-19 yang masih belum reda.

Semua ahli Parlimen dibenar hadir ke Parlimen bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan menangani pandemik Covid-19 selama lima hari ini.

Berdasarkan aturan mesyuarat yang sudah diedarkan kepada semua ahli Parlimen, persidangan bermula jam 10 pagi, dimulai dengan sesi penerangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin diikuti empat menteri yang terbabit dalam pengurusan Covid-19.

Selepas Muhyiddin selesai menyampaikan penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia diikuti sesi sama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan menerangkan tindakan negara menangani pandemik Covid-19.

Kemudian, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula akan memberi penerangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) disusuli Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan membentangkan mengenai pakej bantuan ekonomi.

Mengambil giliran terakhir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan memberi penerangan berkaitan pelaksanaan darurat.

Selepas sesi penerangan ringkas itu, semua ahli Parlimen diberi peluang mencelah bagi meminta penjelasan dan memberi pandangan mengenai perkara dibangkitkan Perdana Menteri.

Berdasarkan aturan mesyuarat itu juga, pembentangan Proklamasi Darurat dan ordinan lain diperkenalkan sepanjang tempoh darurat turut dibentang hari ini.

Antaranya, Proklamasi Darurat yang melalui beberapa pindaannya, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021.

Biar pun jaminan kehadiran diberi kepada semua ahli Parlimen untuk berada di Parlimen, namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat antaranya menjaga penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis selain sudah memperoleh keputusan negatif bagi ujian saringan Covid-19.

Seramai 72 pengamal media yang mewakili 15 agensi media tempatan terlibat dalam liputan berita perkembangan terkini sidang khas Parlimen sehingga Jumaat ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast