Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerjasama secara aktif dengan Intel dalam pelbagai program sebagai sokongan terhadap penggunaan teknologi yang menjadi tumpuan kerajaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, industri tersebut menjadi penghasil terbesar negara dengan sebanyak 148 syarikat tersebut berada di negara ini di mana 50 peratus daripadanya terlibat dalam semikonduktor.

Katanya, pada tahun lepas terdapat 2,300 kekosongan di subsektor semikonduktor berkaitan dengan kejuruteraan aliran reka bentuk.

“Dengan program oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Intel Elite Internship, graduan dalam bidang elektronik dan mikroelektronik secara langsung dapat diserap ke dalam industri tanpa memerlukan tambahan latihan.

“Ini sekaligus akan meningkatkan peratusan Employability Graduate (GE) dalam kalangan pelajar dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Intensif Kementerian Pengajian Tinggi dan Intel Elite Cemerlang yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Menurut Noraini, negara memperoleh sebanyak RM386 bilion tahun lepas hasil daripada pengeksportan barangan daripada industri elektrik dan elektronik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Intel kerana berfungsi sebagai pemangkin revolusi kurikulum baru di universiti.

“Juga penting untuk mengakui bahawa Intel Malaysia menerima lebih daripada 2,300 pelajar sebagai pelatih mereka,” ujarnya.

Noraini percaya program itu akan membawa hasil yang bermanfaat kepada peserta ke arah mengeratkan kerjasama antara universiti, industri dan komuniti.

Katanya lagi, kementeriannya akan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari industri yang membantu pembangunan modal insan di negara ini. – MalaysiaGazette