Speaker Azhar Azizan Harun Parliament Dewan Rakyat Covid-19 positive
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menasihati setiap ketua parti membuat penggiliran kehadiran ahli Parlimen dalam dewan bagi mengelak risiko penularan Covid-19.

Jelas beliau, penggiliran boleh dibuat setiap sejam walaupun semua Ahli Parlimen dibenar hadir berada dalam dewan sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

“Kita putuskan tidak ada had kehadiaran dalam dewan dan berlangsung hingga jam 5.30 petang. Jadi, diminta ketua parti dapat buat penggiliran setiap sejam kehadiran ahli dewan,” katanya ketika memulakan sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Azhar berkata, peraturan baru mengenai had kehadiran dan tempoh persidangan juga sedang dipertimbang.

Beliau turut mengesahkan terdapat dua Ahli Parlimen disahkan positif Covid-19 dan tidak dibenarkan hadir ke persidangan khas Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya lagi, 12 kakitangan Parlimen juga positif, sementara 58 lagi kakitangan lain sudah diarah kuarantin berikutan menjadi kontak rapat.

“Dua ahli Parlimen positif dan lima, enam Ahli Parlimen (kontak rapat) lain terpaksa dikuarantin. Itu adalah situasi Covid-19 di Parlimen setakat ujian saringan yang kita jalankan pada Jumaat lalu.

“Sehingga ini, saya masih tunggu keputusan (daripada Kementerian Kesihatan) untuk meminimumkan risiko penularan di Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette