Gambar hiasan

MASYARAKAT hari ini tertumpu kepada isu perselisihan diantara figura-figura dakwah dalam negara antaranya saudara Ebit Liew, saudara Firdaus Wong Wai Hung, Ustaz Nadir Al-Nuri, saudara Ariz Ramli (Caprice) dan beberapa tokoh lain yang juga turut terkait.

Perselisihan yang berlarutan ini pastinya sedikit sebanyak merencatkan gerak kerja misi dakwah dan kemanusiaan sedia ada. Pada masa yang sama, isu ini mencalit imej buruk kepada realiti persaudaraan Islam dalam kalangan pendakwah di Malaysia.

Polemik perselisihan menerusi media sosial ini semakin marak membakar dan menelanjangkan setiap sisi yang ada, seolah-olah tiada lagi kebaikan yang tersisa daripada pihak yang terlibat. Ditambah pula dengan komen-komen netizen yang sebahagiannya tidak beradab dan didasari sangkaan buruk semata-mata, ia telah mempotretkan suatu lukisan buruk kepada penggerak gerakan dakwah di Malaysia.

Umum mengetahui, polemik tercetus apabila isu kemasukan ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan tidak berjalan seperti yang dirancang bagi sesetengah pihak. Ironinya, tujuan yang amat baik ini akhirnya mencetuskan perbalahan yang maha dahsyat sehinggakan saling mendedahkan segala kelemahan yang ada.

“Pesta” saling mendedahkan kelemahan ini dilangsungkan seenaknya, walaupun pada hakikatnya setiap orang pasti ada kekurangan dan kelemahan tersendiri. Natijahnya semua aib kian terdedah, sekelumit kesalahan yang ada dibesarkan dan dijaja, serta setiap kekhilafan diungkit-ungkit semula.

Dalam menghadapi kemelut ini, penyelesaian boleh dicapai dengan mengenalpasti punca perselisihan. Pendekatan saling memberikan penerangan terhadap tuduhan yang dilemparkan tidak memperlihatkan keadaan menjadi semakin baik, malah ia semakin meruncing dan memburukkan keadaan.

Pada akhirnya, apa manfaat yang dapat diambil daripada perselisihan ini? Pihak manakah yang paling mendapat laba keuntungan daripada perselisihan ini? Pastinya yang bertepuk tangan ialah syaitan terkutuk yang sentiasa ghairah dan komited menghasut manusia kearah perpecahan dan permusuhan.

Penyelesaian terhadap isu ini memerlukan sikap yang matang dan jiwa besar daripada semua pihak yang terlibat. Pertama, ia boleh dimulakan dengan saling bermuhasabah akan kekurangan dan kelemahan diri serta berdiam diri daripada mengeluarkan apa jua kenyataan penerangan atau balas secara terbuka di media massa. Keadaan tidak akan menjadi semakin baik dengan saling berhujah di media sosial, malahan ia membuka seluasnya ruang fitnah dan sangkaan buruk sesama mereka, termasuk para pentaksub yang tidak memahami asal punca.

Kata-kata fitnah, perlian, cercaan dan maki hamun yang memenuhi ruang-ruang komen media sosial ini pasti akan dipertanggungjawabkan. Adakah pemilik akaun yang membuka ruang kepada semua komen yang dilontarkan ini bersedia menanggung tempias dosa-dosa ini? Alangkah baiknya jika semua perselisihan ini dihentikan seketika dengan mengambil tempoh bertenang dan berhenti membalas komentar secara terbuka. Insafi diri dan muhasabah terhadap ujian yang melanda ini, agar tersingkap hikmah di sebalik peristiwa ini.

Kedua, semua pihak perlu kembali ke meja rundingan atas semangat ukhwah Islamiyyah. Rundingan ini perlu menyenaraikan punca permasalahan dan penyelesaian terbaik yang boleh dilaksanakan. Dalam keadaan ini, pastinya ego dalam diri akan menjadi penghalang terbesar. Nafsu dalam diri pastinya akan memujuk diri dengan kata-kata “aku di pihak yang benar” dan “apa perlunya rundingan penyelesaian ini?”.

Maka di sini, kita perlu kembali merujuk kepada penyelesaian menurut Al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Nisa: 59, “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Dalam setiap perbincangan, menjadi kewajipan untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menerimanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya – sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan” (Al-Hujurat: 6)

Perbincangan secara tertutup bagi menyelesaikan perselisihan ini amat perlu segera dilaksanakan. Semua pihak perlu ikhlaskan diri untuk mencari penyelesaian yang tuntas. Jauhi kepentingan diri, apatah lagi untuk membela diri atau mempertahankan pendirian sehingga menafikan kebenaran yang dibentang dihadapan mata.

Ketiga, berlapang dada menerima teguran dan cadangan penambahbaikan. Setiap kesalahan dan kelemahan yang diutarakan perlu diterima dengan hati dan minda yang terbuka. Usaha penambahbaikan juga perlu dilakukan agar kesalahan yang sama tidak akan berulang kembali. InshaAllah hasil daripada permesyuaratan dan bermuhasabah atas kelemahan diri ini akan memberikan jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik yang berlaku ini.

Allah SWT menjanjikan kebaikan bagi setiap perkara yang dibincangkan secara syura dan seterusnya bertawakal kepada Allah SWT terhadap hasil yang diputuskan. Firman Allah SWT: “Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad maka bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya” (Ali Imran: 159)

Keempat, setelah terungkai segala perselisihan, maka bukalah lembaran yang baharu. Rapatkan kembali ukhuwah yang telah terbina dan kuatkan ia dengan matlamat akidah yang satu. Saling bermaafan jadikan budaya dan bersangka baik dijadikan teras untuk kerjasama. Semua pihak perlu kembali fokus dengan gerakan yang lebih sinergi dan berstrategi. Segala kelebihan dan kekurangan perlu diterima seadanya. Jangan jadikan ia sebagai titik pemisah tetapi jadikan ia sebagai peluang untuk saling lengkap melengkapi usaha dakwah dan kemanusiaan yang mulia ini.

Kesimpulannya, perbalahan dan perselisihan adalah antara penyakit yang melanda umat Islam di seluruh dunia sejak dari zaman Nabi Adam AS lagi. Pergolakan sesama sendiri sentiasa merugikan dan ini terbukti dengan beberapa negara di rantau Asia Barat, sejak sekian lama terus berada dalam kancah pergolakan, perselisihan faham, pergaduhan dan seterusnya berperang sesama sendiri.

Ajaran Islam telah menyediakan panduan kepada manusia dalam mewujudkan perhubungan harmoni antara satu sama lain. Peranan bagi setiap umat Islam, jadilah pendamai kepada sesuatu perselisihan, bukannya batu api yang menyemarakkan lagi kebencian dan permusuhan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Al-Hujurat : 10)

Utamakanlah keharmonian dalam masyarakat dan sentiasalah bersangka baik dalam setiap perkara. Jangan cepat menghukum dan selidikilah kebenaran sesuatu berita. Setiap sangkaan buruk yang dilemparkan pastinya akan menatijahkan kesan yang buruk juga, bahkan akan diberikan balasan dosa yang besar akibat daripadanya.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah berdosa dan janganlah kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah kamu setengahnya mengumpat akan setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya, (oleh itu patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat lagi amat mengasihani”, (al-Hujurat: 12)

Dan pastinya yang paling mulia disisi Allah SWT bukanlah yang paling banyak pengikutnya di media sosial atau yang paling banyak menonjolkan kerja-kerja misi kemanusiaan dan kebajikan. Tetapi yang paling mulia disisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa dan itulah ciri utama memperoleh keberkatan dan kerahmatan dariNya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat: 13)

Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.