KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mengenakan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan tahun ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pengurangan pada perbelanjaan aset tetap.

Namun, adalah dijangkakan trend pemulihan pada Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) akan mula berlaku pada tahun pada tahun ini, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

PMTK yang merupakan komponen kedua terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan 20.9 peratus daripada keseluruhan ekonomi merekodkan nilai RM281.1 bilion (harga malar) pada tahun 2020.

PMTK menguncup 14.5 peratus pada tahun 2020 kesan daripada pandemik Covid-19 yang telah mempengaruhi pelaburan aset tetap bagi semua aktiviti ekonomi.

Kejatuhan pada tahun 2020 merupakan penyusutan terbesar sejak Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 yang mana PMTK menyusut 43.0 peratus.

Pengurangan yang berterusan dalam pelaburan aset tetap akan mendorong kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan dan seterusnya mengganggu pertumbuhan potensi output.

Senario kemerosotan PMTK ini turut dialami oleh ekonomi utama dunia dan negara serantau termasuklah Singapura, Thailand dan Indonesia.

Mengikut jenis aktiviti ekonomi, PMTK bagi sektor perkhidmatan menyusut kepada 12.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Penyusutan dalam sektor ini dipengaruhi oleh pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi yang merosot 24.9 peratus dan negatif 10.9 peratus bagi kewangan, insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan.

PMTK bagi sektor Pembuatan menurun 17.1 peratus berbanding kejatuhan 10 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi lemah bagi sektor ini disebabkan oleh produk petroleum, kimia, getah & plastik yang jatuh 24.4 peratus manakala produk elektrik, elektronik & optikal dan peralatan pengangkutan turut memperlahankan prestasi keseluruhan sektor pembuatan yang menyusut 17.2 peratus.

Tambahan pula, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk tekstil dan kayu masing-masing menguncup 15.1 peratus dan 7.8 peratus.

PMTK bagi sektor perlombongan & pengkuarian menyusut 25.4 peratus daripada penurunan 9.3 peratus pada tahun sebelumnya dan sektor pembinaan turut jatuh 2.2 peratus, lebih rendah berbanding kejatuhan 1.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2020, sektor pertanian menguncup 8.8 peratus berbanding 0.1 peratus pada tahun 2019 disebabkan oleh prestasi yang lemah bagi kesemua subsektor.

Melihat kepada jenis aset, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK dengan sumbangan 55.9 peratus, merosot 18.3 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun lalu.

Tambahan pula, peralatan ICT dan lain-lain jentera & peralatan menyusut sebanyak 8.9 peratus manakala produk harta intelek tumbuh marginal 0.6 peratus.

Sektor swasta kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK dengan sumbangan 74.9 peratus, menyusut 11.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sektor awam yang menyumbang 25.1 peratus juga menunjukkan trend menurun yang serupa dengan mencatatkan penurunan 21.3 peratus pada tahun 2020.

Aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama PMTK bagi sektor swasta.

Sumbangan aktiviti perkhidmatan meningkat kepada 62.9 peratus manakala aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan 20.9 peratus.

Aktiviti-aktiviti lain menyumbang 16.2 peratus kepada jumlah PMTK sektor swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast