Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun perlu membuat keputusan untuk menyelamatkan rakyat dan negara yang kini ramai terkorban akibat Covid-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Azhar tidak boleh terus berlindung di bawah Peraturan Am 11 (3) untuk menyelamatkan kerajaan.

“Nak sebut tentang pelan, sudah berapa banyak kali pelan? Tetapi jumlah mati bertambah, jumlah positif bertambah dah 17,000, kemudian bincang pasal Covid-19 dan vaksin, ada sedikit kejayaan tetapi jauh dari unjuran yang ingin dicapai.

“Bagaimana hal ini dibawa dalam Peraturan 11 (3)? Ambil keputusan luar biasa tetapi tidak ada perbahasan, belanja berbilion tetapi tiada undian? Perdana Menteri sehingga hari ini belum memberi perakuan Darurat akan tamat pada 1 Ogos.

“Untuk selesaikan jangan kita nafikan semua ini okay, tidak mengapa saya berlindung di bawah peraturan untuk menyelamatkan diri. Sekarang kita hendak selamatkan negara dan rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Azhar menjelaskan, Peraturan Am 11(3) bagi Sidang Khas Parlimen, Perdana Menteri akan menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat mengikut budi bicara beliau.

Jelas beliau, jika ada cadangan atau usul maka terpulang kepada budi bicara PerdanaMenteri untuk menerimanya. – MalaysiaGazette