Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyampaikan surat cara pelantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) telah dilantik oleh Yang diPertuan Agong berkuat kuasa mulai 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.

Surat pelantikan telah disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di bangunan Parlimen hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyampaikan surat cara pelantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) kepada Ahli Dewan Negara, Senator Tn Hj. Idris Ahmad di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan kesemua yang dilantik adalah terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan parti pembangkang.

Mereka berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

Mereka yang dilantik adalah Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim selaku Pengerusi; empat Ahli Dewan Negara iaitu Senator Tuan Ir. Md Nasir Hashim, Senator Raj Munni Sabu, Senator Idris Ahmad, Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai. – MalaysiaGazette