Petugas kesihatan membaca doa selepas mengebumikan 20 jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Secara purata seramai 30 hingga 40 jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan setiap hari di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Menurut Mohd Ajib, persiapan yang sewajarnya juga sedang dilakukan bagi menampung jumlah jenazah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 29 APRIL 2021.

“Buat masa ini kita membuat persiapan yang sewajarnya untuk pengebumian mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu di dua tanah perkuburan tersebut manakala kalau di Putrajaya di Presint 20 sementara Labuan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Labu.

“Jadi kalau di Putrajaya atau pun Labuan kita tiada masalah kerana jumlah kematian tidak begitu banyak tetapi di Kuala Lumpur kita dapati purata pengebumian itu agak tinggi dan kita pun merancang juga untuk menambah lagi pembinaan tanah perkuburan yang akan datang iaitu di TPIRS Bukit Jalil.

“TPIRS Bukit Jalil baru dibangunkan dengan sebahagian kecil daripadanya boleh memuatkan 1,200 jenazah dan buat masa ini akan digunakan untuk pengebumian jenazah biasa. Baki tanah perkuburan itu akan dibangunkan sebagai persediaan menambah keperluan pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Petugas kesihatan mengusung jenazah terakhir antara 20 jenazah pesakit Covid-19 yang dikebumikan sekali gus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 JULAI 2021.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, seramai 20 jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan di TPIRS Taman Selaseh hari ini manakala 10 lagi jenazah di TPIRS Bukit Kiara.

Menurut beliau, bermula minggu ini, bilangan Pasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 yang dikendalikan oleh Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut ditambah bilangannya menerusi penglibatan anggota dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

“Kita menambah bilangan pasukan petugas dengan penglibatan anggota Kagat dan ia akan bertambah berdasarkan keperluan.

“Ketika ini terdapat seramai 83 petugas lelaki dan 30 petugas wanita yang menggalas amanah dalam menguruskan jenazah pesakit-pesakit Covid-19 itu,” katanya.

Tambah Mohd Ajib lagi, sejak Mac 2020 sehingga semalam, seramai 2,048 jenazah telah diuruskan oleh pasukan petugas khas berkenaan.

“Jumlah paling tinggi yang diuruskan adalah Ahad lalu iaitu seramai 93 jenazah dalam masa satu hari, tetapi yang dikebumikan di TPIRS hanya 36 jenazah manakala selebihnya di negeri Selangor,” katanya.

Hari ini, negara mencatatkan 207 kes kematian akibat penularan Covid-19 iaitu angka sama bagi dua hari berturut-turut sejak semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,408 kes. – MalaysiaGazette