KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan sebanyak 221 hospital untuk merawat pesakit positif Covid-19 di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, hospital milik Kementerian Kesihatan (KKM) ialah 104 daripada 146, hospital universiti (enam), hospital swasta (112) dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak sebuah.
Katanya, sebanyak 11 hospital KKM adalah berstatus rawatan penuh positif Covid-19, manakala selebihnya turut merawat pesakit luar bukan kes positif virus itu.
“Kerajaan juga menyediakan lebih 15,000 katil awam yang bukan dikategorikan Unit Rawatan Kecemasan (ICU) dan 1,288 katil di hospital swasta,” katanya dalam sesi penerangan pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Dr. Adham, sebagai komitmen berterusan untuk membendung penularan Covid-19, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7.13 bilion untuk KKM melaksanakan tanggungjawab itu.
Katanya, jumlah itu ialah RM1 bilion pada 2020 dan RM6.13 bilion pada 2021.
“Daripada RM7.13 bilion ini, sebanyak RM2.35 bilion disediakan bagi saringan dan rawatan pesakit Covid-19, manakala RM4.78 bilion bagi tujuan perolehan vaksin dan peralatan,” katanya. – MalaysiaGazette