Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa agar kerajaan menghentikan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, sudah tiba masanya kerajaan mencari jalan baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu bagi mendepani kes positif Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Saya ingat surat kebenaran beroperasi MITI dihentikan dahulu. MITI bagi surat beroperasi tapi apakah jaminan bahawa surat ini bebas daripada virus.

“Boleh atau tidak kementerian melaksanakan dasar yang baru dan SOP yang baharu. Jadikan sesiapa yang nak rentas negeri atau nak pergi kerja, mesti ada satu pasport bukan surat MITI tapi daripada Kementerian Kesihatan.

“Sekurang-kurannya tunjuk sudah ada (ujian) RTK nak pergi kilang sudah ada ujian RTK, ikut MITI mereka fikir pasal kilang tapi bagi saya untuk ini jangan tengok kilang sahaja, perhotelan, usahawan kecil, gerai macam mana nak buka,” katanya dalam sidang khas Parlimen hari ini.

Surat kebenaran MITI adalah surat kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi perlu serta kebenaran untuk merentas daerah mahupun negeri.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung menyebabkan kerajaan melaksanakan larangan merentas negeri menggunakan surat MITI.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan boleh menggunakan pendekatan ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sebagai pendekatan baharu.

Jelasnya, rakyat di negara ini boleh bergerak sekiranya sistem pasport ujian RTK ini diketengahkan oleh kerajaan.

“Kalau kita boleh buat SOP yang baharu, dan kekalkan SOP yang sedia ada, maka boleh bergerak dan buka hotel tapi mesti ada pasport. Kalau RTK ini diiktiraf seminggu, maka akan ada satu sistem sebab MySejahtera boleh buat.

“Saya nak merayu kepada kerajan untuk subsidikan ujian RTK ini tetapi kalau kerajaan beri subsidi, barulah ada rantaian pemisahan. Saya nak cadang supaya buat pendekatan baru selain kita terus mengamalkan pemakaian pelitup mulut dan hidung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette