Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) diminta supaya mengutamakan Sabah dalam penghantaran bekalan vaksin.

Ini kerana, kes positif Covid-19 di negeri tersebut menunjukkan trend peningkatan setiap hari dan keadaan itu membimbangkan kerajaan serta rakyatnya.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin agar dua kementerian itu memandang serius untuk mencari kaedah bagaimana membendung kes positif yang naik mendadak.

“Jangan sampai nanti bila kes sudah naik mendadak, baharu kita panik dan teraba-raba nak membendungnya.

“Sabah sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kita tidak mahu apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu berulang lagi, yang meletakkan kita dalam keadaan cemas dan bimbang.

“Pada waktu itu, ramai tenaga perubatan dari Semenanjung dikerah ke Sabah untuk membantu menangani pandemik Covid-19,” katanya membahaskan usul penerangan Kementerian Kesihatan di Parlimen, hari ini.

Mohamad berkata, hari ini beliau mendapat maklumat, ada dalam kalangan pasukan perubatan di Sabah sedang dikerah ke Semenanjung untuk membantu negeri kritikal seperti Selangor.

Beliau meminta KKM melihat semula perkara itu dengan mengambil pegawai perubatan dari daerah yang kritikal dan berisiko tinggi di Sabah untuk ke Semenanjung.

“Saya juga diminta oleh doktor dan pegawai perubatan Hospital Beaufort supaya jangan hantar mereka ke Semenanjung pada waktu ini, kerana tenaga yang ada di hospital ini juga agak kurang dan kes sedang meningkat,” katanya.

Mohamad turut menyentuh mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah yang harus ditambah vaksin secepat mungkin kerana ada antaranya menghadapi kekurangan bekalan.

Katanya, beliau difahamkan satu PPV di Sabah boleh menampung sehingga 59,000 dos satu hari, tetapi pada hari ini mereka hanya dapat membuat suntikan kira-kira 30,000 dos sahaja.

“Saya minta KKM dan Mosti hantar bekalan vaksin mencukupi secepat mungkin ke Sabah. PPV kita mampu tampung sehingga 59,000 dos sehari, sayanglah kalau kita tidak dapat memaksimumkan keupayaan ini,” katanya.

Mohamad turut merayu KKM dan Mosti agar memastikan semua rakyat negeri itu sekurang-kurangnya mendapat satu dos suntikan.

“Satu dos setiap orang sangat diperlukan. Kita tidak mampu bawa keluar setiap rakyat di kawasan pedalaman dan mereka yang ada kepayahan untuk keluar. Tambahan pula liputan internet pun boleh dikatakan susah, mereka tidak dapat gunakan aplikasi Mysejahtera secara maksimum.

“Jadi, saya minta dos pertama diperluaskan. Saya difahamkan kuantitinya sudah diluluskan dan percepatkan program vaksinasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast