KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di ruang legar Parlimen semasa Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menegsan hantara pemilik akaun Twitter @sultanoftasik yang memaparkan Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu pada kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati Tajuddin telah menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat pada Isnin.

“Pada hari yang sama jam lebih kurang 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama dengan seorang individu lain di ruang legar Parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Tambah Eng Lai, atas kesalahan pelanggaran SOP tersebut maka satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada jam 1 tengah hari tadi.

“Kita telah mengeluarkan kompaun kepada Tajuddin di bawah Seksyen 25 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan nilai kompaun yang perlu dijelaskan wakil rakyat itu akan ditentukan kelak oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam memutuskan penularan jangkitan pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

Ingkar SOP: Tajuddin dikompaun RM1,500