Sebilangan doktor kontrak keluar ke lobi Hospital Selayang bagi membuat Hartal Doktor Kontrak di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap doktor kontrak yang terlibat dalam Gerakan Hartal atau mogok secara aman yang berlangsung di seluruh negara semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Berkaitan doktor kontrak (yang menyertai hartal), mereka tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

“Tiada tindakan akan dikenakan ke atas mereka walaupun mereka keluar untuk demonstrasi. Kita tidak akan ambil tindakan, mereka berhak menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Amanah) sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam hartal.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam berharap kerajaan dan pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan perundangan atau tatatertib terhadap sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang melakukan perhimpunan pada Isnin.

Pada Isnin lalu, lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di KKM. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.