Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama wakil taman selepas sidang media berkenaan status pemindahan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

KLANG – Kebimbangan penduduk Taman Sri Andalas mengenai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Sukan Klang yang beroperasi dalam lingkungan komuniti mereka sejak lebih dua minggu lalu akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Ia susulan perkembangan terbaharu yang dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengenai pemindahan CAC Dewan Sukan Klang ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang bermula Jumaat ini.

Setiausaha Surau An Naim, Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad berkata, sebagai penduduk yang menetap di situ, dia merasa lega dan bersyukur dengan pemakluman pemindahan tersebut.

Setiausaha Surau An Naim, Taman Sri Andalas, Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad bercakap kepada media berkenaan status pemindahan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

“Disebabkan lokasi surau ini terlalu dekat dengan CAC jadi pengerusi ambil tindakan menutup surau ini dan kami buat bantahan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

“Selepas beberapa perbincangan yang turut disertai oleh wakil penduduk, kami masih dengan keputusan yang sama iaitu tidak akan berganjak daripada membantah supaya CAC ini dipindahkan dari Taman Sri Andalas.

“Selepas ini, penduduk terutamanya di Sri Mersing dan Sri Damak serta kawasan sekitar boleh lah jalankan aktiviti seperti biasa selepas dua minggu diselubungi kerisauan dengan adanya CAC di situ,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Artikel berkaitan: Penduduk Taman Sri Andalas keluar duit sendiri lakukan sanitasi sekitar CAC, perumahan

Penduduk Taman Sri Andalas terus desak CAC dipindahkan ke lokasi jauh dari komuniti

Individu Disyaki Positif Covid-19 Beratur Panjang di CAC Dewan Taman Sri Andalas

Penduduk Taman Sri Andalas ketakutan CAC dalam kawasan kediaman

Penduduk bimbang ada kluster Andalas jika biar CAC dekat perumahan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Siantan, Kapten (B) Ahmad Othman berkata, rata-rata penduduk kini boleh menarik nafas lega selepas perjuangan mereka untuk mendesak perpindahan CAC itu akhirnya berjaya.

Menurut Ahmad, penduduk sebelum ini terlalu fobia dengan situasi yang berlaku di CAC berkenaan lebih-lebih lagi apabila melihat pesakit yang dijangkiti Covid-19 berkeliaran.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Siantan, Kapten (B) Ahmad Othman bercakap kepada media berkenaan status pemindahan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

“Penduduk tahu mereka yang dilihat berkeliaran ini merupakan pesakit Covid-19, selain limpahan kereta di sepanjang jalan, mereka turut membuang sampah seperti pelitup muka dan meludah di merata-rata tempat.

“Dalam masa sama, kami juga risau apabila saban hari semakin ramai penduduk dalam kawasan taman disahkan dijangkiti wabak itu,” ujarnya.

Sebelum ini, CAC Dewan Sukan Klang yang mula beroperasi pada 12 Julai menerima pelbagai respon daripada penduduk setempat dengan rata-rata daripada mereka tidak bersetuju dengan kewujudan pusat penilaian berhampiran taman perumahan.

Pelbagai bantahan dibuat termasuk penduduk menaikkan kain rentang sebagai tanda protes terhadap CAC berkenaan. – MalaysiaGazette