Datuk Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar didakwa tidak memperincikan kos pembelian vaksin mengikut jenama daripada syarikat pembekal di seluruh dunia.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, rakyat  ingin mengetahui kos sebenar pembelian setiap dos vaksin Covid-19 mengikut jenama-jenama kerana ia melibatkan dana kerajaan.

“Kita ingin mengetahui pecahan kos pembelian vaksin dan cara kerajaan membelanjakan peruntukan dana untuk tujuan pembelian vaksin mengikut pecahan jenama.

“Khairy mengesahkan bahawa peruntukan keseluruhan untuk program vaksinasi berjumlah RM5.8 bilion di mana RM4.8 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RM1 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Walaupun Khairy menyatakan setiap perjanjian ‘procurements’ telah diserahkan kepada Jawatankuasa PAC, namun rakyat ingin mengetahui kos pembelian setiap dos mengikut jenama-jenama vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin mendakwa, kos pembelian vaksin yang dibayar kerajaan lebih tinggi berbanding negara jiran yang turut sama membeli vaksin sama.

“Kerajaan Malaysia membayar kos lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh kerajaan-kerajaan dari negara-negara jiran kita.

“Pada awalnya, rakyat difahamkan kerajaan sudah membelanjakan peruntukan ini namun penerimaan stok vaksin agak lambat. Adakah ia disebabkan kerajaan lambat bayar kepada syarikat pembekal ataupun terpaksa beratur menunggu bekalan,” katanya.

Khairuddin juga mendesak Khairy mendedahkan jumlah pembayaran yang telah dibuat setakat ini kepada syarikat-syarikat pembekal vaksin terbabit.

“Bilakah kerajaan mula membuat pembayaran ke atas kos-kos vaksin dan setakat hari ini berapakah jumlah keseluruhan yang sudah dibayar kepada syarikat-syarikat pembekal mengikut jenama-jenama vaksin,” katanya.

Khairuddin turut mengulangi pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang menawarkan diri untuk mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara bagi membantu menyelesaikan kemelut pandemik demi menyelamatkan nyawa setiap rakyat Malaysia.

“Demi masa depan bangsa dan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup ketepikan perbedaan fahaman ideologi politik dan meletakkan agenda kepentingan negara di atas segalanya.

“Tokoh negarawan terulung negara ini amat jujur menggunakan setiap pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada pada beliau ke arah berkorban tenaga semata-mata demi semangat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette