Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa beberapa doktor kontak yang terlibat dalam Gerakan Hartal atau mogok secara aman masih lagi disoalsiasat walaupun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata tiada tindakan diambil terhadap mereka.

Katanya, pihak polis masih lagi mendapatkan keterangan daripada beberapa doktor, jururawat dan pegawai kesihatan sehingga jam 3 pagi.

Jelas Fahmi, perkara ini nyata bercanggah dengan apa yang dinyatakan Adham di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Sejumlah doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain di pusat Kuarantin di MAEPS di soal siasat oleh polis sehingga jam 3.45 pagi pada 28 Julai.

“Oleh yang itu Menteri Kesihatan pada 27 Julai telah mengeluarkan kenyataan yang telah mengelirukan Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Fahmi merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba pada Selasa bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap doktor kontrak yang terlibat dalam Gerakan Hartal atau mogok secara aman yang berlangsung di seluruh negara pada Isnin.

Kata Fahmi, laporan media menjelaskan bahawa ada doktor kontrak, jururawat dan petugas kesihatan yang masih disoal siasat oleh polis berhubung aktiviti mogok itu terutamannya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Justeru itu, beliau mendesak agar Adham diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kenyataan yang dibuat pada Selasa tidak sama dengan apa yang dilakukan polis terhadap doktor kontrak pada Rabu.

“Menteri Kesihatan mesti dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Ini kerana seperti yang dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen semalam telah bertanya samada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan dapat dipanjangkan ke Menteri Dalam Negeri.

“Tapi sehingga hari ini kita belum mendengar sepatah pun daripada Menteri Dalam Negeri tentang tindakan dan siasatan yang dibuat oleh polis terhadap sejumlah doktor, jururawat dan petugas kesihatan di MAEPS.

“Ini satu perkara yang menggusarkan kerana berdasarkan kepada apa yang telah disampaikan oleh peguam yang mewakili doktor-doktor ini bahawa mereka telah disoalsiasat sehingga jam 3.45 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada tindakan kepada doktor kontrak sertai mogok aman – Menteri