KOTA TINGGI – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili melancarkan tiga siri program Gotong-Royong Perdana Bencana Alam Sedili membersihkan 366 rumah penduduk yang rosak dipukul ribut di Tanjung Sedili baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, gotong-royong itu bagi membersihkan pokok tumbang dan sisa-sisa sampah akibat ribut di kawasan Sedili Besar.
Gotong-royong ini melibatkan lebih 150 penduduk tempatan, kakitangan Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Felda, polis, bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pembersihan bermula pukul 9 pagi di Astaka Dataran Sedili Besar kemudian kediaman 140 keluarga di Kampung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Bukit, Kampung Nelayan, Kampung Semanyong, Jalan Mad Lazim dan Perumahan Felcra,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, ribut telah merosakkan 291 rumah terutama bahagian atap dan garaj kereta milik penduduk selain turut menjejaskan sekolah, klinik dan balai polis.
Kampung yang terlibat Kampung Sri Gading, Kampung Teluk Jeri, Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Kampung Tanah Putih, Taman Sedilidan Kampung Sedili Besar.
Ribut berkenaan turut mengakibatkan lebih 20 pokok tumbang sehingga menutupi laluan jalan raya namun tiada kecederaan melibatkan mangsa.
Rasman berkata, gotong-royong pada kali ini menjadi lebih mudah selepas kerja-kerja pembersihan utama melibatkan pokok tumbang, saliran tersumbat dan atap rumah yang berselerakan telah dilakukan SWM Environment Sdn Bhd pada Isnin.
Katanya, Pusat Khidmat DUN Sedili membantu kerajaan negeri menyalurkan bantuan sehingga RM5 juta untuk keluarga mangsa dengan setiap keluarga akan menerima RM5,000 hingga RM15,000 berdasarkan tahap kerosakan harta benda termasuk rumah.
“Penduduk terlibat juga menerima sumbangan makanan pada hari kejadian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut melakukan kerja-kerja baik pulih kediaman.
“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam proses menyalurkan bantuan berkaitan bagi meringankan beban mangsa untuk sementara waktu ini,” katanya.
Mengenai proses baik pulih 13 rumah di Tanjung Sedili yang rosak teruk, beliau berkata, kerja-kerjanya sudah bermula menerusi pembiayaan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor.-MalaysiaGazette
















