Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun meyantuni seorang warga emas, Yong Soo Shin selepas menghulurkan bantuan Bakul Prihatin Negara ketika di Flat Taman Maluri, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyiasat isu membabitkan seorang lelaki yang bertindak meninggikan suara kepada seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan (PTG) Kuala Lumpur kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun PTG tersebut berada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) namun YKN tetap diminta untuk menjalankan siasatan lanjut supaya insiden sedemikian tidak berulang.

“Saya baru sahaja dimaklumkan, tetapi saya akan minta YKN untuk menyiasat perkara ini.

“Saya juga akan semak lebih lanjut dengan kementerian yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ihsan dan menyantuni penerima Bakul Prihatin Negara di Flat Taman Maluri, Cheras hari ini.

Semalam tular di laman sosial menunjukkan paparan rakaman video seorang lelaki yang meninggikan suara terhadap seorang warga emas tanpa memakai pelitup muka di sebuah pusat transit gelandangan di ibu negara.

Rata-rata netizen turut mengecam perbuatan individu terbabit yang juga merupakan seorang usahawan dan ‘influencer’ yang dikatakan biadap sekali gus menjatuhkan air muka warga emas itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah turut mengesahkan lelaki berusia 34 tahun itu telah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette