Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Pas menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa yang sama mendukung semua keputusan di dalam Kabinet.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man  berkata, parti itu turut mendukung sistem Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Parti itu menyeru semua pihak kekal bersatu-padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika pandemik Covid-19.

“Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perkembangan terkini menyaksikan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat berhubung ketetapan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

Usul tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun susulan kenyataan Istana Negara hari ini mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menegaskan kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari
ini.-MalaysiaGazette