Zainul Rijal Abu Bakar
Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan hendaklah bertanggungjawab atas tindakan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenaan Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan perkara sebenar bagi meredakan kegelisahan ramai pada kadar segera.

Seorang peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan, ia kerana hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang berkuasa membatalkan Ordinan Darurat tersebut.

Pihak eksekutif tidak boleh melangkaui kuasa yang ada.

Menurut beliau, kedudukan pihak eksekutif yang membelakangkan proses demokrasi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong ini sangatlah serius dan mempunyai ramifikasi perundangan yang pelbagai.

“Saya jangkakan ada berita besar yang bakal diumumkan tidak berapa lama lagi. Kita tunggulah nanti hanya masa yang akan menentukannya,” kata beliau dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Tegas Zainul Rijal, hala tuju negara perlu diperbetulkan semula memandangkan Malaysia masih dalam krisis kesihatan ekonomi dan politik namun ahli politik dari kedua-belah pihak tidak menzahirkan kepimpinan yang gah untuk memandu negara ke landasan yang betul.

”Demi negara, ahli politik mesti mengenepikan perbezaan dan mencari persamaan. Kita akan menjadi lebih kuat jika kita bersama berbanding bertelagah antara satu sama lain.

”Ke mana lagi rakyat mahu tumpang berteduh? Hanya kepada Allah SWT sahaja tempat kita meminta perlindungan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette