Gambar hiasan.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung pukul 5.15 petang tadi berakhir dengan pengumuman penangguhannya pada Isnin depan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon membuat pengumuman itu selepas menerima keputusan terdapat dua kes positif baharu Covid-19 yang dikesan selepas kesemua yang berada di bangunan Parlimen menjalani ujian calitan RTK-Ag sebentar tadi.

“Hasil daripada ujian saringan RTK yang masih dan sedang dijalankan di Parlimen didapati dua lagi kes positif yang baharu telah dikesan…tindakan seterusnya adalah penilaian risiko oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika mengumumkan perkara itu.

Justeru, beliau menggesa ahli dewan yang hadir sejak persidangan bermula Isnin lalu dan tidak menjalani ujian calitan hari ini kerana tidak hadir pada sesi hari ini diminta pergi membuat saringan tersebut di mana-mana klinik berdekatan dengan kadar segera.

Menerusi keputusan hasil daripada ujian saringan berkenaan katanya, ia bermakna seramai empat orang telah dijangkiti Covid-19 di bangunan Parlimen.

Mohd Rashid kemudiannya menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan sidang dewan pada Isnin depan.

Terdahulu sebelum itu, sidang dewan yang sepatutnya mendengar penerangan berhubung soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terganggu sebanyak dua kali.

Ia bermula pada sesi sebelah pagi apabila pembangkang tetap mahu membahaskan keputusan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Bagaimanapun, selepas hampir sejam sesi sidang dewan berlangsung, ahli-ahli Parlimen dikejutkan dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana dimaklumkan di Dewan Rakyat Isnin lalu kerana belum mendapat perkenan baginda.

Sidang Khas Parlimen kemudiannya ditangguhkan buat kali ketiga yang mana puncanya tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu.

Dalam pada itu, bangunan Parlimen hari ini ditutup untuk aktiviti keluar masuk ekoran kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat dua kakitangan Parlimen didapati positif Covid-19. – MalaysiaGazette