KUALA LUMPUR – Sidang khas Parlimen sesi petang yang baru berlangsung seminit tiba-tiba ditangguhkan selama sejam.
Pengumuman penangguhan itu dibuat oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sejurus beliau duduk ditempat duduknya.
Menurut Azalina, penangguhan itu adalah disebabkan perbincangan aturan mesyuarat yang masih diteruskan.
“Ahli-ahli yang berhormat, perbincangan masih diadakan berkenaan aturan urusan mesyusrat hari ini, sehubungan itu selaras dengan Aturan Mesyuarat 12 (2). Sekarang saya menimbulkan mesyuarat ini sehingga pukul 3.30 petang,” katanya.
Pengumuman Azalina itu membuatkan ahli-ahli Parlimen terutamanya dari blok pembangkang tertanya-tanya situasi yang berlaku.
“Kenapa, ada perkara besar ke yang berlaku,” kata seorang ahli Parlimen di dalam dewan.
Terdahulu hari ini, sidang khas sesi pagi tertangguh selama sejam selepas pembangkang tetap mahu membahaskan keputusan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.
Berlaku kekecohan berhubung perkara itu namun, mesyuarat tetap berlangsung selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memulakan penerangan berhubung soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan sebagaimana aturan mesyuarat hari ini
Namun, selepas hampir sejam sesi sidang dewan berlangsung, negara dikejutkan dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana dimaklumkan di Dewan Rakyat Isnin lalu kerana belum mendapat perkenan baginda.
Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus bin Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette