Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 lagi kawasan atau lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 1 hingga 14 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti di Sabah ialah Bandar Sabindo, Kg. Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas, PPR Sri Semerak dan Taman Berjaya di Tawau.

Lima lokaliti di Keningau ialah Kg. Bariawa Laut, Kg. Baitah, Kg. Panagatan Ulu, Kg. Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau.

Kata beliau, tiga lokaliti di Kudat melibatkan Kg. Seri Aman, Taman Orkid dan Kg. Damaran Banggi, manakala di Sandakan ialah Kg. Lupak Meluas Darat, Kg. Sundang Laut dan Flat Taman Sejati.

Turut dikenakan PKPD selama dua dua minggu ialah Taman Sempelang, Sembulan dan Kg. Sembulan Tengah serta Lama di Kota Kinabalu.

Juga diletakkan bawah pelaksanaan PKPD ialah Kg. Tempasuk 1, Kota Belud; Kg. Tengah Padang di Putatan; dan Kg. Babagon di Penampang, Sabah.

Manakala di Pahang melibatkan Kg. Tanjung Keraying Mentakab, Temerloh.

“Semua lokaliti itu dikenakan PKPD selepas kerajaan meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hishammuddin, tiga kawasan di Pahang dan satu di Sabah dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu lagi bermula 1 Ogos ini.

Kawasan itu ialah Taman Tas dan Pandan, Taman Indera Sempurna dan Taman Impianku dalam daerah Kuantan, manakala di Sabah melibatkan Kg. Siansai Dunday, Kota Belud.

Bagi kawasan yang tamat PKPD mulai esok ialah 10 lokaliti di Kuantang, Pahang iaitu Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg. Derhaka, Kempadang, Sg. Soi, Kg. Pahang, Taman Seri Inderapura, Sg. Isap dan Lorong Seri Teruntum.

Turut ditamatkan ialah Taman Chengal, Temerloh, Pahang dan Jalan Pandan Indah Mukim Ampang, Hulu Langat, Selangor.

Di Sabah pula, lokaliti yang ditamatkan PKPD ialah PPR Taman Ehsan, Kudat; Kg. Naruntung, Pitas; Kg. Pinalobuh Bukid, Kota Belud; Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, Mukim Silabukan di Lahad Datu.

Katanya, Kg. Pasir Hilir, di Lundu; Kg. Garung, Kuching; dan Kg. Belangkap, Rompin, Pahang turut ditamatkan mulai esok. – MalaysiaGazette