Saudia Airlines membawa vaksin dan peralatan perubatan dari Arab Saudi untuk Malaysia. foto: FB Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai AS$5 juta bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19.

Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud atas sumbangan tersebut.

Sumbangan itu telah tiba di Malaysia menerusi dua buah pesawat Saudia Airlines semalam dan sebuah lagi hari ini.

Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” menurut kenyataan tersebut yang juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.

Ucapan terima kasih baginda turut disampaikan a kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan ini. – MalaysiaGazette