Ketua Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam (kanan) berjalan keluarga selepas membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana derhaka dan membelakangkan perkenan Yang Dipertuan Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan meminta polis bertindak tegas terhadap pemimpin-pemimpin yang menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara semalam jelas menyatakan nama menteri dan pihak yang terlibat dalam perkara itu.

“Kita sudah kerah lebih ramai membuat laporan polis di seluruh negara hari ini untuk mendesak tindakan polis dalam perkara sangat serius ini,” katanya selepas laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berharap pihak polis mengamalkan sikap pilih bulu dalam siasatan yang dilakukannya itu.

Tambah beliau, rakyat dikejutkan dengan kenyataan balas yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri malam tadi menunjukkan seolah-olah tidak rasa bersalah.

Menurut Asmaaliff, sebelum ini beliau terkejut apabila mendapati kenyataan media menyusul selepas YDPA manzahirkan dukacita apabila ordinan dibatalkan tanpa perkenan baginda.

berikutan itu katanya, seluruh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil tanggungjawab ke atas apa yang dilakukan mereka.

Sementara itu, Asmaaliff berkata, Pemuda PH Wilayah Persekutuan akan berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyatakan bantahan dan rasa tidak puas hati kita terhadap kebiadaban kerajaan PN dalam isu Ordinan Darurat pada jam 11 pagi esok. – MalaysiaGazette