Gambar Hiasan

KUANTAN – Pemilik perniagaan di daerah Kuantan diminta untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang pada hari ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, selain bertujuan memuliakan hari keputeraan Al-Sultan Abdullah, ia juga sempena  sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini mulai 15 Ogos 2021 hingga 16 September 2021.

Justeru, para peniaga terlibat diminta  mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang serta memberikan pencahayaan kepada bangunan premis masing-masing sepanjang sambutan tersebut.

“Mengibarkan Jalur Gemilang pada Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang disambut bagi memuliakan, menzahirkan rasa hormat dan taat setia Sultan Pahang.

“Manakala sambutan bulan kemerdekaan pula adalah simbol penting dan merupakan tunjang kepada pemupukan semangat cintakan negara, kesatuan dalam pelbagai bangsa dan agama.

“Suka diingatkan, bendera Malaysia dan Negeri Pahang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara dan negeri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Oleh yang demikian, bendera yang dipasang hendaklah dalam keadaan yang baik dan elok.

Jelas Hamdan lagi, mana-mana bendera yang telah koyak, bergulung atau telah bertukar warna tidak boleh dikibarkan dan boleh dikibarkan mulai 26 Julai lalu  hingga 16 September 2021. – MalaysiaGazette