KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meningkatkan kecekapan pengendalian kes Covid-19.
Penasihatnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, negara ketika ini berada dalam situasi mencemaskan apabila berbelas ribu kes positif dicatatkan dan ratusan kes kematian direkodkan sehari.
“Sebagaimana Pakatan Harapan (PH) memerintah dulu, kita ada agensi khas di bawah KKM yang bertindak mengatasi segala kelemahan yang berlaku. Kemudian, kita cuba atasi dan tanganinya bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan 30 unit Oksigen Konsentrator kepada Hospital Selayang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Naib Presiden Keadilan, Chang Lih Kang; dan Bendahari Agung Keadilan, Lee Chean Chung.
Sebanyak 81 Oksigen Konsentrator bernilai kira-kira RM250,000 disediakan parti Keadilan hasil daripada sumbangan orang ramai, pemimpin PKR dan Pusat Khidmat Keadilan seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 20 unit diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah; 16 unit kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; dan masing-masing lima unit untuk Hospital Slim River serta Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Menurut Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan, Oksigen Konsentrator amat diperlukan oleh semua hospital bagi merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan oksigen untuk bernafas.
Katanya, alat itu digunakan untuk mengirim oksigen kepada seseorang pesakit yang mengalami gangguan pernafasan.
“Seseorang pesakit yang dalam darahnya lebih rendah dari biasanya sering memerlukan mesin ini untuk menggantikan oksigen.
“Justeru, kita berusaha mendapatkan bekalan ini untuk disalurkan ke hospital yang memerlukan,” katanya.
Ditanya, apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada menyediakan dana untuk sumbangan peralatan seperti itu, katanya, beliau tidak tahu.
Tetapi, katanya, kerajaan telah membelanjakan ratusan bilion ringgit dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
“Saya tidak tahu ke mana wang itu digunakan, tetapi PKR terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengutip sumbangan orang ramai dan pemimpin parti untuk membeli bekalan ini,” katanya. – MalaysiaGazette