Keadaan sekitar kediaman Perdana Menteri lengang tanpa pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet bagi mengadakan pertemuan khas sejak pagi tadi di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai berada di kediaman peribadinya hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 10 pagi tadi mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan rasmi kerajaan mahupun individu ternama.

Malah tiada kenderaan menteri Kabinet dilihat memasuki kediaman Muhyiddin setakat ini.

Hanya kenderaan penduduk sekitar yang keluar masuk di Bukit Damansara, di sini.

Semalam, beberapa kenderaan Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memasuiki kawasan kediaman Muhyiddin.

Turut dikatakan hadir adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Selain menteri, beberapa Timbalan Menteri termasuk dari parti Pas juga dipercayai hadir semalam.

Turut hadir Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Pertemuan itu dibuat selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu, bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Baginda juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Idrus cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette