Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa menteri Kabinet keluar dari kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan khas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga jam menunggu di perkarangan pintu masuk kediaman peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebuah kereta yang membawa seorang menteri Kabinet dilihat memasuki kediamannya.

Kereta Toyota Vellfire putih bernombor pendaftaran QS4651J dilihat memasuki perkarangan kediaman Muhyiddin pukul 11.47 pagi tadi.

Selepas lebih satu jam, kenderaan itu dilihat meninggalkan kediaman Muhyiddin.

Berdasarkan nombor pendaftaran, ia dipercayai milik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Media yang menunggu sejak Khamis lalu mendapati kenderaan beberapa Menteri Perikatan Nasional (PN) antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Ia susulan kenyataan Istana Negara di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Khamis lalu menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat wakil kerajaan di Parlimen pada Isnin lalu berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan Baginda. – MalaysiaGazette