Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hadir ke protes #Lawan sebagai tanda tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua merupakan antara beberapa pemimpin politik yang dilihat menyertai himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut memakai kemeja berwarna hitam dan berarak bersama-sama peserta himpunan itu yang berlangsung di sepanjang Jalan Tun Perak selepas mereka dihalang daripada memasuki Dataran Merdeka.

Himpunan yang berlangsung kira-kira dua jam sejak pukul 11 pagi itu turut disertai oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam.

Selain itu kelibat beberapa pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) iaitu Naib Presidennya, Dr. Thanussha Francis Xavier dan Mutalib Uthman serta Setiausaha Agung, Amir Abdul Hadi juga dilihat.

Antara lain yang dilihat turun ke jalanan bagi menyokong himpunan tersebut adalah Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy dan Pengasas Bersama Undi 18, Tharma Pillai.

Sementara itu, Amir berkata, kira-kira 1,000 anak muda menyertai himpunan #Lawan itu yang bertujuan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin untuk meletak jawatan.

Menurutnya, himpunan tersebut merupakan peringkat permulaan dan dia tidak menolak kemungkinan lebih banyak perhimpunan dengan tujuan yang sama akan dianjurkan selepas ini sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

“Kerajaan jangan tutup telinga dengan apa yang sedang berlaku ketika ini, terutamanya menteri mereka harus menunjukkan tingkah laku yang baik kepada masyarakat dan bukan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berulang-ulang kali.

“Rakyat sudah penat, sekian lama mereka duduk di rumah tetapi keadaan tiada yang berubah. Selepas ini jika mereka gagal mendengar tuntutan rakyat, kita percaya lebih banyak himpunan akan berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai himpunan #Lawan hari ini.

Jelas Amir lagi, antara tuntutan utama yang dibawa oleh peserta himpunan #Lawan adalah peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sidang Parlimen Malaysia diadakan secara penuh dan moratorium. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Himpunan #Lawan gagal ‘tawan’ Dataran Merdeka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Perhimpunan jalanan yang di pengaruhi oleh pemimpin politik yang bebal yang terang terangan melanggar sop demi kepentingan pilotik pihak2 tertentu.

Comments are closed.