Logo Bomba

IPOH – Seorang jururawat cedera apabila ambulans yang dinaikinya terbabas ke bahu jalan di Kilometer 285 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada 5.40 petang.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah ambulans milik syarikat swasta yang terbabas ke bahu jalan selepas menghantar pesakit.

“Seorang jururawat wanita telah tersepit namun hanya mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki manakala pemandu ambulans itu selamat dan telah keluar dengan sendiri dari kenderaan terbabit,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.

Jurucakap itu juga berkata, dalam insiden berasingan, bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Daeng Sedili, Kuala Kangsar.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden yang menimpa Haziq Zafran Arif Izwan itu pada 6.37 petang.

“Mangsa terperangkap di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan enjin dihidupkan selama kira-kira setengah jam apabila ibu mangsa keluar membeli barangan di kedai serbaneka tersebut,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pasukan bomba membuka pintu kenderaan tersebut menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya dikeluarkan dalam operasi yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja. – Bernama