Gambar hiasan
JOHOR BAHRU – Harga runcit minyak masak sawit di Johor kekal tidak berubah seperti sebelum ini.
Tinjauan Malaysia Gazette di sebuah pasar raya di sini mendapati, harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) masih kekal dengan harga RM29.70 manakala harga minyak masak 3kg dijual RM18.70.
Harga minyak masak sawit 2kg dan 1kg pula dijual pada harga maksimum RM12.70 dan RM6.70.
Meskipun harga minyak sawit 5kg dijual sekitar RM29 sebotol, seorang suri rumah, Asherin Hashim, 26, berkata, harga itu masih agak mahal terutama dalam keadaan sekarang.
Lebih-lebih lagi, ketika majoriti rakyat berdepan dengan masalah kewangan disebabkan penularan Covid-19 untuk dua tahun berturut-turut.
“Harga minyak masak setakat hari ini memang belum ada naik melepasi RM30 (untuk 5kg).
“Tetapi kalau dikutkan secara peribadi, bagi saya harga begini masih mahal sebab dulu harga sebotol minyak 5kg pelbagai jenama boleh dibeli antara RM24 hingga RM26,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Fadzilah Mat Suri juga mengakui harga minyak masak 5kg masih lagi tinggi.
“Bagi golongan pertengahan macam saya harga ini agak mahal, memang kita ada pilihan minyak paket tetapi alangkah baik kalau kerajaan dapat kurangkan sedikit lagi.
“Setidaknya-tidaknya kami sebagai rakyat lega sedikit,” katanya.
Kementerian  Perdagangan  Dalam  Negeri dan  Hal  Ehwal  Pengguna  (KPDNHEP)  dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan  telah  bersetuju  melaksanakan program  Harga Kawalan berasaskan  nilai  ambang  minyak mentah sawit bagi  meringankan  beban  kos  sara hidup dan  menangani  isu  kenaikan  harga  minyak  masak  sawit  tulen  botol 1  kilogram  hingga  5  kilogram.
Melalui program  ini,  harga  minyak  masak  sawit  botol  5  kilogram  diputuskan  untuk dikawal  supaya  harganya  tidak  melebihi  RM30  sebotol.
Sehubungan  itu,  kerajaan  menerusi  KPDNHEP  menetapkan  harga runcit  maksimum  bagi  minyak  masak  sawit  tulen  yang  dibungkus  dalam botol  adalah  tertakluk  di  bawah  Perintah  Kawalan  Harga  dan Antipencatutan  (Penentuan  Harga  Maksimum  Bagi  Minyak  Masak)  2021.
Penetapan  harga  itu, menurut KPDNHEP  dibuat  dengan  mengambil  kira  pandangan  daripada pelbagai  agensi,  industri  dan  trend  harga  dipasaran.
Perintah  ini  berkuat kuasa  pada  hari ini – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast