Seorang petugas kesihatan sedang menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang wanita. foto Agensi

PHNOM PENH – Kemboja akan mula menawarkan suntikan booster Covid-19, dengan memadankan dua vaksin berbeza membabitkan AstraZeneca, Sinovac dan Sinopharm dalam usaha memerangi penyebaran koronavirus di negara Asia Tenggara.

Perdana Menteri Hun Sen berkata, dos ketiga akan ditawarkan kepada antara 500,000 hingga satu juta pekerja petugas barisan hadapan sebagai keutamaan.

“Orang yang telah divaksinasi dengan Sinopharm dan Sinovac akan diberi AstraZeneca untuk dos ketiga.

“Manakala individu yang telah divaksin dengan AstraZeneca, vaksin booster Sinovac akan diberikan untuk dos ketiga,” tambahnya.

Hun Sen berkata, Kemboja akan membeli lebih banyak vaksin AstraZeneca melalui Covax untuk booster dan vaksin Johnson & Johnson yang dibiayai Amerika Syarikat baru-baru ini akan digunakan untuk memvaksinasi penduduk orang asli di timur laut Kemboja.

Kemboja telah mengenakan sekatan di lapan wilayah yang bersempadan dengan Thailand minggu ini dalam usaha untuk mencegah penyebaran varian Delta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan minggu ini varian Delta telah dikesan dalam kalangan pendatang yang kembali dari Thailand melalui sempadan darat dan kini berada dalam komuniti setempat.

“Kami bersaing dengan varian baharu. Kita mesti bertindak hari ini dan kita harus bertindak pantas agar tidak menyesal esok,” kata Li Ailan, Wakil WHO ke Kemboja.

Kemboja berjaya membendung virus tersebut sepanjang tahun lalu, tetapi wabak yang pertama kali dikesan pada akhir Februari telah menyebabkan jumlah kes meningkat kepada 77,919, dengan 1,420 kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast