Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan sentiasa mencukupi sebagai langkah kesiapsiagaan mengatasi sebarang bentuk bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, antara kegunaan yang memerlukan saluran daripada tabung berkenaan ialah untuk membeli bantuan kecemasan atau bencana Monsun Timur Laut.

Katanya, tabung itu disumbang oleh orang ramai dan kerajaan menerusi pakej prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tabung ini di bawah NADMA, yang kita namakan tabung kecemasan Covid, memandangkan pandemik ini juga kita kategorikan sebagai bencana, selain bantuan musim tengkujuh.

“Saya tidak tahu ada berapa, tetapi lebih RM100 juta untuk persiapan membeli barang-barang kecemasan.

“Apapun, kerajaan sentiasa dalam kesiapsiagaan dan jika perlu kita tokok tambahkan lagi agar ianya berjalan lancar dan segala bentuk bantuan sampai ke goloran sasar dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Kit Makanan Skuad Prihatin kepada 70 keluarga di Dewan Persatuan Penduduk E/F, Wangsa Maju di sini, hari ini.

Mengenai bantuan prihatin, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, bantuan sentiasa disalurkan kepada golongan memerlukan melalui pusat khidmat masing-masing.

Katanya, bantuan seumpama itu adalah perkara biasa dari kerajaan dan inisiatif itu sudah lama dibuat secara berterusan.

“Dah banyak pakej bantuan kita wujudkan. Perdana Menteri pun dah banyak kali umumkan dan kalau kita tengok jumlahnya telah mencecah lebih RM50 bilion untuk bantuan ini.

“Cuma, saya minta, marilah kita sama-sama bekerjasama membantu kerajaan yang berdepan dengan cabaran getir ini untuk menyelesaikan kes wabak Covid-19.

“Ini kerana kita tidak tahu bila wabak ini akan berakhir, tambahan pula dengan penularan varian baru yang dinamakan Delta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast