Mohammad Hussin

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menerbitkan sebuah program 10 minit bertajuk ‘Sembang-sembang ASNB’, di bawah inisiatif Literasi Kewangan ASNB. Program yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan pelaburan ini akan disiarkan oleh RTM.

Program 12 episod ini akan mengupas topik-topik menarik berkaitan pengurusan wang dan pelaburan individu termasuklah mengenai aliran tunai, hutang, insurans dan perwarisan menerusi perbincangan bersama dan kupasan oleh ahli panel jemputan dari industri kewangan, pelaburan dan lain-lain industri berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, menerusi program ini, ASNB telah menambah satu lagi sumber informasi mengenai pelaburan dan pengurusan kewangan di bawah teras Literasi Kewangan ASNB.

Dengan program televisyen baharu yang akan ditayangkan ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia boleh belajar tentang ilmu perancangan kewangan.

”Berdasarkan pengalaman kami ketika menganjurkan seminar dan bertemu orang ramai dalam pelbagai program anjuran ASNB sebelum ini, maklum balas yang kami terima ialah kurangnya maklumat mengenai pengurusan wang dan pelaburan untuk membantu mereka mengurus wang dengan lebih baik.

”Jadi menerusi Sembang-sembang ASNB, kami harap orang ramai akan mendapat sedikit panduan bagaimana mereka boleh mengurus wang dan pelaburan dengan lebih berkesan untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Mohammad berkata, ASNB sentiasa mengutamakan pendidikan pelaburan untuk membantu individu membina perancangan kewangan lebih baik.

Kegagalan memahami perkara asas mengenai pelaburan boleh menyebabkan ramai yang hidup dalam hutang, tidak mempunyai harta atau masih perlu bekerja selepas bersara.

”Sebagai contoh, masih ramai yang tidak faham mengenai asas risiko dan pulangan hingga menyebabkan mereka mudah melabur dalam pelbagai jenis skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, tanpa menyedari bahawa mereka juga perlu menanggung risiko yang tinggi.

”Terlalu banyak skim pelaburan mempromosikan pulangan tinggi tetapi maklumat risiko yang perlu ditanggung tidak didedahkan sepenuhnya,” katanya.

Program Sembang-sembang ASNB akan mula bersiaran di TV1 RTM pada 2 Ogos ini pada jam 1.45 tengah hari setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu.- MalaysiaGazette