Mohd Sophian menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Ahli Parlimen pembangkang susulan berhimpun selepas gagal memasuki Parlimen hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang menggesa kerajaan  mengambil tindakan tegas terhadap 107 ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Kuala Lumpur selepas mereka dilarang memasuki Parlimen hari ini.

Pengerusinya, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, tindakan mereka bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini malah boleh mencetuskan penularan Covid-19.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap ahli Parlimen itu bagi mengelak tindakan berhimpunan di jalanan berulang.

Mohd Sophian.

“Kalau kita lihat himpunan pagi tadi menunjukkan ahli Parlimen pembangkang gagal mengawal nafsu mereka untuk merebut semula kuasa.

“Ikutkan banyak saluran lain boleh digunakan mereka untuk menuntut pembukaan Parlimen bukan dengan cara turun ke jalanan secara ramai-ramai begini.

“Tindakan mereka turut menyebabkan petugas barisan hadapan iaitu polis terpaksa dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pemantauan sedang banyak lagi perkara lain perlu mereka laksanakan.

“Ahli Parlimen pembangkang perlu hentikan tindakan membawa isu Parlimen ke demostrasi jalanan kerana ia memberikan banyak implikasi negatif tambahan pula ketika negara sedang bergelut melawan penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Terdahulu, Mohd Sophian membuat satu laporan polis terhadap 107 ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun secara beramai-ramai selepas gagal memasuki Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sophian menggesa polis mengesan dalang disebalik perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di sekitar Dataran Merdeka, pada Sabtu.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Bulatan Datuk Onn di ibu kota pagi tadi selepas mereka dilarang memasuki Parlimen.

Antara yang kelihatan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohammad Sabu; Ahli Parlimen Semporna dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cubaan ahli Parlimen pembangkang masuki Parlimen gagal