KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) kekal komited untuk menyokong pemulihan ekonomi negara selaras dengan mandat pembangunannya dan menawarkan lima skim pembiayaan bernilai RM5.6 bilion, yang menyasarkan kepada sektor strategik utama.

Bank itu menyatakan skim-skim pembiayaan berkenaan yang merupakan tambahan kepada kemudahan perbankan umumnya, ditawarkan pada kadar pembiayaan keutamaan kepada sektor yang disasarkan, termasuk sektor pendigitalan, maritim dan logistik, pelancongan serta pengangkutan awam.

“BPMB mengalu-alukan projek dan perniagaan yang layak dalam sektor-sektor ini untuk mengemukakan permohonan masing-masing.

“Setakat ini, skim-skim berkenaan yang sebelum ini diumumkan oleh kerajaan, telah menyaksikan sejumlah RM2.4 bilion diluluskan untuk penggunaan dan baki RM3.2 bilion masih tersedia untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Datuk Seri Nazir Razak berkata, pandemik COVID-19 telah menjejaskan perniagaan dan industri dengan teruk dan sebagai institusi kewangan pembangunan, BPMB memainkan peranan pemangkin untuk membantu perniagaan dan memulihkan ekonomi.

Beliau menambah sejak ditubuhkan, BPMB telah menjadi rakan kongsi yang kuat untuk perniagaan dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kehidupan rakyat, dipandu oleh visi dan misinya sebagai rakan pembangunan terkemuka di Malaysia. – MalaysiaGazette