Gambar hiasan. - Foto SYAFIQ AMBAK

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa  membentuk piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kebocoran gas menyebabkan letupan berlaku dalam negara sejak beberapa tahun lalu,  sekali gus mengakibatkan kecederaan dan kematian.

Jelas beliau, kes terbaharu membabitkan seorang doktor yang kini bertarung nyawa selepas letupan gas menyebabkan 95 peratus anggota tubuhnya melecur.

“Selain itu ada pegawai perubatan mendakwa, letupan gas kini merupakan salah satu penyebab utama kemasukan ke unit rawatan kebakaran di negara ini.

“Dalam sebahagian besar kes, jika pesakit mampu bertahan dalam tempoh 24 jam yang pertama, mereka akan mengalami komplikasi, jangkitan dan kegagalan organ yang menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi.

“Bagi kes mangsa terselamat pula, rawatan di hospital akan berlanjutan hingga enam bulan atau lebih lama dengan tempoh pemulihan selepas keluar dari hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, walaupun penggunaan tong gas sudah lebih 50 tahun di Malaysia, namun tidak banyak maklumat mengenai kegunaan dan penyelenggaraan tong gas diketengahkan.

“Sehubungan itu, kita mahu pihak berwajib membentuk piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak; menyediakan prosedur keselamatan berhubung penggunaan gas memasak dan ketika kecemasan; mewajibkan tong gas meletakkan tarikh luput bagi tong, injap, hos serta regulator gas.

“Selain itu, kita juga mahu sebuah badan pengawal bagi industri gas memasak ditubuhkan serta mewajibkan gerai penjaja dan tempat makan mempunyai alat pemadam kebakaran bagi mengelakkan kebakaran lebih teruk berlaku,” ujar Mohideen. – MalaysiaGazette